Sokongan emosi kanak-kanak jadi keutamaan, kaunselor dan NGO digerakkan di PPS Putra Heights.
- E News
- 5 days ago
- 1 min read

KUALA LUMPUR, 10 April 2025 – Tengahari tadi, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bersama Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Ketua Pengarah RELA, dan Ketua Polis Selangor, melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Putra Heights bagi menyatakan simpati dan bertemu mangsa yang terkesan akibat insiden baru-baru ini.
Beliau berkata, arahan telah dikeluarkan untuk membuka kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen di PPS dengan segera.
“Alhamdulillah, sejak hari kedua pemindahan, hampir kesemua mangsa telah mengambil kesempatan menyelesaikan isu dokumen masing-masing,” katanya dalam kenyataan.
Kerajaan Madani, menurut Saifuddin, kekal komited bukan sahaja memberikan bantuan segera, tetapi juga mengambil serius kesukaran mangsa mendapatkan kediaman baharu kerana keperluan deposit yang tinggi.
“Isu ini akan diperhalusi bersama Kerajaan Negeri untuk mencari penyelesaian lebih menyeluruh,” tambahnya.
Menteri turut memuji usaha agensi-agensi terlibat, kaunselor, dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terus bekerja keras.
“Walaupun insiden ini berlaku beberapa hari lalu, kesan mental dan emosi, terutama pada kanak-kanak, masih ketara. Sokongan psikososial sangat penting dalam situasi ini,” ujarnya.
Beliau menegaskan, kunjungan ini mencerminkan wajah prihatin Kerajaan Madani yang sentiasa turun padang, mendengar rintihan rakyat, dan bertindak segera demi kesejahteraan mereka.
Comentarios