top of page

Penyedia Telekomunikasi Diarahkan Tingkatkan Liputan di DUN Ayer Kuning Menjelang PRK

  • Writer: E News
    E News
  • 2 days ago
  • 1 min read

Kredit Foto : Jabatan Penerangan Malaysia
Kredit Foto : Jabatan Penerangan Malaysia

TAPAH, 14 April 2025 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengarahkan penyedia perkhidmatan telekomunikasi seperti CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia, U Mobile, dan YTL untuk segera meningkatkan kualiti liputan Internet dan telekomunikasi di 27 lokasi dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning. Arahan ini dikeluarkan susulan teguran Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil, berhubung isu liputan yang tidak memuaskan di kawasan tersebut.


Bagi memastikan kelancaran perkhidmatan menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK), MCMC telah mengenal pasti beberapa lokasi utama, termasuk Pusat Penamaan Calon di Dewan Merdeka Tapah, 21 pusat mengundi, Pusat Media di Pejabat Penerangan Daerah (PPD) Batang Padang, serta Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Ayer Kuning dan NADI PPR Sri Bidor.


Setakat petang semalam, semua penyedia perkhidmatan telah menyerahkan pelan tindakan penambahbaikan kepada MCMC. Antara langkah yang dirancang termasuk pengoptimuman stesen pemancar sedia ada, pemasangan pemancar sementara, dan perkongsian infrastruktur antara syarikat telekomunikasi.


Untuk mendekati masyarakat, MCMC membuka Kaunter Aduan di PPD Batang Padang mulai 12 hingga 26 April 2025, beroperasi setiap hari dari 9.00 pagi hingga 9.00 malam. Kaunter ini menerima aduan berkaitan telekomunikasi, perkhidmatan pos, dan isu lain di bawah bidang kuasa MCMC.


MCMC akan memantau prestasi liputan secara harian dan memastikan aduan disalurkan kepada penyedia perkhidmatan untuk tindakan segera. Sebarang kelewatan atau ketidakpatuhan terhadap arahan ini boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan mengikut undang-undang.

Comments


  • Youtube
  • Facebook
  • X
  • TikTok
  • Instagram

© 2025 Life News Agency

bottom of page