PDRM Catat Kejayaan Besar Dalam Operasi Northern Star: Tangkap 8 Individu, Rampas Aset Bernilai RM3.17 Bilion
- E News
- 4 days ago
- 2 min read

KUALA LUMPUR, 11 April 2025 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA, Urus Setia Ketua Polis Negara (USKPN), Bukit Aman mencatat kejayaan gemilang dalam Operasi Northern Star dengan menahan lapan individu dan merampas aset bernilai lebih RM3.17 bilion. Operasi rentas negara ini dilancarkan pada 20 Mac 2025, berikutan maklumat “Red Notice” daripada Interpol.
Menurut kenyataan media Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin bin Husain, tangkapan melibatkan tujuh lelaki dan seorang wanita berusia antara 44 hingga 62 tahun. Antara mereka yang ditahan termasuk dua usahawan bergelar Dato’ dan dua peguam juga bergelar Dato’. Kesemua suspek kini direman antara satu hingga tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Operasi ini menyasarkan sindiket pelaburan penipuan jenis “Ponzi Scheme” dikenali sebagai Pelaburan MBI, yang berpusat di sebuah negara jiran. Dalam beberapa siri serbuan, PDRM berjaya membekukan dan menyita pelbagai aset hasil daripada aktiviti haram, termasuk:
638 akaun bank dan akaun saham bernilai RM1.16 bilion
35 unit hartanah dianggarkan bernilai RM2 bilion
10 buah kenderaan mewah
12 jam tangan mewah
Wang tunai dalam pelbagai mata wang asing dan Ringgit Malaysia
Dua unit barang kemas
Enam telefon bimbit, dua komputer riba, dan empat beg tangan mewah
Pelbagai dokumen penting
Jumlah keseluruhan rampasan dan pembekuan aset dianggarkan mencecah RM3,174,769,204.74. Semua aset ini dipercayai berkait rapat dengan hasil jenayah daripada skim pelaburan penipuan tersebut.
PDRM komited untuk meneruskan siasatan terhadap mana-mana individu atau entiti yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram, termasuk memperoleh, menyembunyikan, memindahkan, atau menggunakan hasil haram. Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati terhadap sebarang aktiviti pelaburan yang mencurigakan dan melaporkan maklumat berkaitan kepada pihak berkuasa.
“Dalam usaha memerangi jenayah pengubahan wang haram, kerjasama masyarakat amat penting. Kami menyeru semua pihak untuk terus berwaspada dan membantu PDRM dalam membanteras jenayah ini,” ujar Tan Sri Razarudin.
Operasi ini menunjukkan komitmen PDRM dalam memerangi jenayah kewangan dan melindungi kepentingan rakyat Malaysia daripada ancaman sindiket penipuan pelaburan.
Comments