MCMC Salur Kemudahan Digital kepada Mangsa Kebakaran Putra Heights
- E News
- 2 days ago
- 1 min read

CYBERJAYA, 13 April 2025 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menyumbangkan 37 buah komputer riba kepada mahasiswa institusi pengajian tinggi yang terjejas akibat kebakaran di Putra Heights. Sumbangan ini bertujuan memudahkan pembelajaran dan komunikasi mereka.
Selain itu, MCMC akan membekalkan telefon bimbit kepada ketua isi rumah serta komputer riba kepada sekolah-sekolah terkesan di kawasan tersebut. Secara keseluruhan, MCMC akan mengagihkan 302 komputer riba, termasuk 265 unit untuk sekolah, dan 620 telefon bimbit kepada isi rumah yang terlibat. Penyampaian bantuan ini akan dilakukan secara berperingkat dalam masa terdekat.
Sumbangan tersebut diserahkan oleh Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Amiruddin bin Shari, dalam majlis ringkas di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights. Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi (Infrastruktur Telekomunikasi), Encik Mano Verabathran.
MCMC berharap inisiatif ini dapat meringankan beban mangsa, terutama dalam urusan pembelajaran, perkhidmatan dalam talian, dan komunikasi yang kritikal dalam situasi ini.
Comments