ALOR GAJAH, 25 September 2022 (Bernama) — Yayasan Pelajaran MARA (YPM) memperuntukkan RM2 juta dari Januari hingga Ogos tahun ini bagi membantu kira-kira 20,000 pelajar bumiputera di seluruh negara di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Pengerusinya Datuk Mohd Razman Yaacob berkata bantuan yang dihulurkan termasuk pemberian laptop, basikal dan wang tunai secara sekali beri.
“Bagi Melaka, YPM memperuntukkan RM100,000 untuk membantu kira-kira 1,200 pelajar dalam tempoh tersebut,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan Program CSR Pendidikan YPM “Apa Khabar Anak Kuala” di bawah Program Pendidikan Pesisir Pantai di Kompleks Nelayan Kawasan Melaka Barat di Kuala Linggi, di sini hari ini.
Pada majlis berkenaan YPM memperuntukkan RM14,600 melibatkan bantuan wang tunai RM100 secara sekali beri, basikal dan laptop kepada 78 penerima.
Mohd Razman berkata ia merupakan program CSR ketujuh yayasan itu di bawah Program Pendidikan Pesisir Pantai selepas Pulau Pangkor, Pulau Tioman, Tawau dan Semporna, Pulau Tuba, Pulau Aman dan Kerian, sebelum diteruskan ke Johor, Terengganu dan Kelantan.
Dalam pada itu, menurutnya mana-mana syarikat korporat atau individu yang menyumbang kepada YPM akan mendapat potongan cukai sehingga 10 peratus di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.
Katanya sumbangan boleh disalurkan menerusi laman sesawang di http://edonation.ypm.org.my atau aplikasi Touch n Go e-wallet.
— BERNAMA
- Wells Home Café launches the First 2-in-1 Solution for Coffee and Tea
- Seafood stakeholders call for a level playing field for Sustainability
- TouchPoint, Inc. Appoints Staci Kroon as President and CEO
- Special Minds Launches 1-to-1 Special Needs Platform to Empower Families with Five Key Pillars
- Singapore Residents’ Year End and Lunar New Year Travel Spending Hit New Highs: Visa
Leave a comment