20 Julai 2022 – Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) Ke-40 pada hari ini telah bersetuju meluluskan satu dasar utama berkaitan perancangan bandar dan desa iaitu Pelan Induk Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (PIRECFS) untuk dijadikan sebagai panduan perancangan serta pembangunan fizikal dan hutan bagi seluruh Semenanjung Malaysia.
Dalam satu kenyataan hari ini, Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Yaakob yang mempengerusikan MPFN pada hari ini berkata PIRECFS merupakan satu inisiatif untuk menghubungkan lapan kompleks hutan utama negara yang melibatkan lapan negeri iaitu Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Selangor dan Negeri Sembilan.
Katanya ia bagi memelihara kawasan-kawasan hutan di Semenanjung Malaysia agar wujud satu rangkaian fizikal hutan yang bersambungan di seluruh kawasan CFS, selaras dengan visi ‘reconnecting the forest’.
“Pelan induk ini juga telah mengenal pasti 39 rangkaian ekologi bagi menghubungkan kawasan hutan atau pulau hutan yang tidak bersambungan ekoran berlakunya pemisahan dan pengasingan hutan (forest fragmentation).
Ia bagi mengurangkan konflik antara manusia dan hidupan liar dengan memastikan laluan semulajadi hidupan liar dari satu kawasan hutan ke hutan yang lain tidak terhalang dengan aktiviti pembangunan.
Melalui pelaksanaan pelan induk ini, komitmen negara untuk mengekalkan 50 peratus kawasan litupan hutan sepertimana yang dipersetujui semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada 1992 akan dapat direalisasikan. Perkara ini boleh dicapai melalui komitmen bersama di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-Kerajaan Negeri.” kata Ismail Sabri.
Tambahnya, MPFN Ke-40 turut mengambil maklum mengenai Pelaporan Status Tanah Lapang Awam (TLA) di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Tahun 2020 yang telah disediakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui PLANMalaysia.
“Kerajaan menetapkan sasaran sebanyak dua hektar tanah lapang untuk 1,000 penduduk bandar. Jumlah keseluruhan tanah lapang awam di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan ialah 23,433 hektar.
Bagaimanapun hanya 33 peratus atau 7,662.6 hektar daripadanya telah diwartakan, 24 peratus (5,738.4 hektar) dalam proses pewartaan manakala selebihnya belum diwartakan.
Mesyuarat meminta Kerajaan Negeri mempercepatkan proses mewartakan kawasan tanah lapang awam di seluruh negara. Sehubungan itu, semua Kerajaan Negeri, melalui agensi-agensi yang bertanggungjawab di bawahnya diseru untuk mengambil langkah yang lebih serius dalam menyegerakan pewartaan TLA di bawah Seksyen 62, Kanun Tanah Negara (KTN).” katanya.
- Temus Becomes Singapore’s First OutSystems Premier Partner, Accelerating Low-Code Adoption Amid Surging Demand
- “Zero-Prepayment Storage” RESTORE brings its storage service to Fo Tan
- WRISE Group Charts New Growth Path with Office Launch for WRISE Academy in Shenzhen
- A Majority of Businesses Intrigued by the Potential of AI in Achieving Sustainability Goals Whilst Energy Consumption Concerns Persist
- KPDN Strengthens SOP for Investigation of Mixed Rice Issue with Cooperation from MARDI and Chemistry Department
Leave a comment